Johor: Medan Pertarungan Paling Sengit PRU 14

0
233

Johor yang dihujani pelbagai aktiviti hujung minggu kali ini memberi gambaran jelas bahawa negeri paling selatan tanah air ini bakal menjadi medan pertarungan paling sengit antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional menjelang PRU ke-14.

Di pihak Pakatan Harapan, menerusi anjuran NGO ANAK, Tun Mahathir Mohamad telah diundang menyampaikan ucapan dekat Kota Tinggi pada 15 Julai 207. Ia merupakan ucapan sulungnya setelah diamanahkan sebagai Pengerusi Pakatan Harapan pada 13 Julai 2017 yang lalu.

Program mendapat sambutan hangat dengan kehadiran sekitar 3000 rakyat pelbagai kaum – satu jumlah yang cukup besar jika dilihat dari aspek Kota Tinggi sebagai salah satu ‘kubu terkuat UMNO’. Turut diundang menyampaikan ucapan adalah Mat Sabu presiden Amanah, Datuk Saifuddin Nasution Setiausaha Agung KeADILan dan saya sendiri mewakili Ketua parlimen DAP Lim Kit Siang.

Selain itu, Amanah telah mengadakan rumah terbuka Aidilfitri peringkat negeri Johir di Batu Pahat pada 14 Julai. Majlis amat meriah ditambah kehadiran Presidennya Tuan Hj Mohamad Sabu serta Timbalan Presiden Tuan Hj Salahudin Ayub. Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin pula telah mengadakan program yang sama di Pagoh pada hari berikutnya. Pada hari Ahad 16 Julai, KeADILan Johor pula mengadakan rumah terbuka Aidilfitri di Ledang dan Pasir Gudang dengan penyertaan Timbalan Presidennya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Untuk makluman, Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Tony Pua turut menyempurnakan program jelajahnya di serata Johor pada hujung minggu yang sama bagi menyampaikan maklumat berhubung skandal 1MDB kepada rakyat.

Dalam ucapan saya di Kota Tinggi, secara ironi saya nyatakan bahawa Tun M dan pimpinan PH sedang ‘menyerang’ kubu kuat UMNO iaitu Kota Tinggi tatkala Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sibuk turun Johor ke kawasan Parlimen Sembrong dalam rangka mempertahankan apa yang dianggap selama ini sebagai ‘kerusi selamat’ BN itu.

Untuk rekod, UMNO memperolehi undi di Kota Tinggi dan Sembrong masing-masing 82.4% dan 63.7% pada Pilihan Raya Umum lalu. Komposisi pengundi mengikut kaum bagi Kota Tinggi ialah 86% Melayu, 11% Cina dan 2% India manakala Sembrong 58% Melayu, 31% Cina dan 9% India.

Saya agak terkejut apabila mendapat berita menerusi media sejurus selepas program Najib di Sembrong malam itu yang melaporkan ‘ucapan berapi-api’ beliau untuk memastikan Sembrong kekal menjadi milik BN pada PRU akan datang. Dalam ucapan, beliau berkata “Kami datang, pastikan bumi Sembrong ini kekal kukuh dalam tangan Barisan Nasional”.

Bagi saya, ada sesuatu yang tak kena sehingga Perdana Menteri sendiri terpaksa membuat penekanan sebegini di parlimen Sembrong. Mungkin UMNO khususnya Menteri Pertahanan merangkap antara ‘senarai calon menunggu’ Perdana Menteri pilihan Najib ini ada menerima maklumat bahawa kerusi-kerusi di Johor tidak lagi terjamin untuk kemenangan BN pada PRU ke-14 nanti, termasuklah Sembrong!

Malam yang sama, Najib turut mengumumkan 3 projek untuk Sembrong – pembinaan 500 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) menerusi dua fasa, 500 buah rumah untuk generasi kedua Felda di Felda Kahang yang akan dibina oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) Dan penaik tarafan pondok polis Taman Sri Lambak kepada balai polis.

Menurut Malaysiakini, Najib menyebut;

“Hari ini saya datang patut freelah tak payahlah bayar apa-apa. Tapi nampaknya Datuk Hisham siang-siang dah hantar bil. Dan dengan dia punya pantun sekali nak corner saya, dia kata alang-alang Datuk Seri nak datang, kami di Sembrong minta bantuan.

“Jadi tiga projek kita dah bayar bil perjumpaan malam ini kepada orang Sembrong. Saya dah tunaikan hajat tuan-tuan.Tuan-tuan kena tunaikan hajat saya, boleh?”

Dalam hal ini, dana awam tidak sewajarnya digunakan untuk tujuan kempen kepartian. Pun begitu, Najib nampaknya gagal memahami perubahan landskap pemikiran politik rakyat hari ini khususnya Melayu. Malang kerana beliau masih menganggap politik ‘saya bantu kamu, kamu bantu saya’ dengan menjanjikan projek-projek ‘bulan dan bintang’ kepada rakyat akan dapat membeli undi mereka. Hakikatnya, rakyat mahukan kerajaan yang bersih, peluang pekerjaan dengan tawaran gaji yang lebih baik serta kos sara hidup yang tidak membebankan.

Malah, jika Hishammuddin sebagai orang nombor 3 dalam Kabinet pun terpaksa merayu untuk mendapatkan projek bagi kawasannya beberapa bulan sebelum Parlimen dibubarkan, ini menunjukkan Kerajaan BN telah lumpuh.

Kerusi Sembrong diwujudkan selepas persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya pada tahun 2003. Ia dilihat sebagai satu kerusi ‘rekaan khas’ untuk Hishamuddin yang telah memenangi kerusi tersebut sejak pilihan raya 2004. Jika Sembrong sudah ‘bergoyang’, mengapa tidak yang lain?

Saya tegaskan pandangan saya di Kota Tinggi, untuk merealisasikan peralihan kerajaan persekutuan dalam PRU ke-14, Pakatan Harapan mestilah memastikan kemenangan 10 kerusi parliman masing-masing di Johor, Kedah dan Sabah.

Jujurnya, Sembrong dan Kota Tinggi tidak ada dalam fikiran saya sebagai kerusi potensi menang Pakatan Harapan. Namun, respon positif dan perkembangan politik Johor yang telah berlaku pada hujung minggu ini telah menambah keyakinan sedia ada saya bahawa Johor merupakan medan pertarungan paling sengit menjelang PRU ke-14.

Analisa oleh Pengerusi DAP Johor merangkap Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong pada 17hb Julai 2017 di Kluang.

SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here