HSA: DAP mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja

0
305

DAP Johor mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat tragedi kebakaran Hospital Sultanah Aminah (HSA). Selain itu, DAP Johor juga cadang bahawa perkhidmatan sokongan hospital konsesi Medivest Sdn Bhd untuk HSA digantung semasa siasatan, dan kalau mendapati kesalahan, semua perkhidmatan syarikat tersebut digantung dan dirunding semula.

Dalam ucapan pembahasan Belanjawan 2017 pada Rabu 26hb Oktober dan semasa mengemukakan Pertanyaan Waktu Menteri pagi ini (27hb Oktober), saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa kebakaran HSA dan juga merakamkan penghargaan kami kepada para perubatan, Bomba, Polis dan semua pihak yang terlibat dalam usaha penyelamatan.

Saya melawat ke HSA pada hari kejadian kebakaran (Selasa, 25hb Oktober) bersama Ketua Pembangkang Johor Gan Peck Cheng dan ADUN-ADUN DAP Johor Andrew Chen (Stulang), Wong Shu Qi (Senai), Liow Cai Tung (Johor Jaya) dan Cheo Yee How (Pengkalan Rinting), dan Timbalan Setiausaha Publisiti DAP Johor Hj Sheikh Omar Ali.

Dalam lawatan tersebut, saya berkesempatan bertemu dengan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. S Subramaniam dan memaklumkan kepada beliau tentang harapan DAP bahawa siasatan terhadap HSA boleh dijalankan oleh pihak bebas dan berkewibawaan.

Kejadian kebakaran HSA boleh berlaku di hospital mana-mana sahaja dan boleh juga berlaku kepada sesiapa sahaja. Adalah penting kita mempelajari pengajaran tragedi ini dan tidak mengulanginya.

Kebakaran kali kedua pada petang 26hb Oktober menujukkan bahawa bangunan-bangunan hospital kita belum selamat lagi.

Soalan yang saya kemukakan pada Pertanyaan Waktu Menteri pagi ini adalah berikut:~

TUAN LIEW CHIN TONG (Kluang) minta MENTERI KESIHATAN menyatakan:

(a)    adakah Suruhanjaya Siasatan Diraja akan ditubuhkan untuk mengkaji tragedi kebakaran Hospital Sultanah Aminah (HSA).

(b)    Selain daripada HSA, pemegang konsesi perkhidmatan sokongan hospital Medivest Sdn. Bhd. terlibat dalam urusan berapa hospital,  jumlah kos kontrak,  adakah perkhidmatan syarikat tersebut akan digantung semasa siasatan.

Menteri Kesihatan Subramanian tidak datang ke Parlimen kerana beliau sedang menghadap Tuanku Sultan Johor. Jawapan dibaca oleh Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Hilmi Yahya adalah seperti berikut:~

Tuan Yang di-Pertua;
Satu Jawatankuasa Siasatan Bebas telah ditubuhkan bagi menjalankan siasatan mendalam dan terperinci mengenai kejadian kebakaran tersebut. Jawatankuasa berkenaan akan diketuai oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan dianggotai oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Lembaga Jurutera Malaysia, Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan, KKM dan Bahagian Perancangan, KKM. Penubuhan Jawatankuasa ini diharap akan dapat memberi petunjuk dan membuat penambahbaikan terhadap sistem pengurusan hospital yang lebih selamat.
Selain daripada HSA, Medivest Sdn Bhd juga menyelenggara enam (6) lagi Hospital-Hospital di Negeri Sembilan, tiga (3) Hospital di Melaka dan 12 Hospital lain di Johor, yang menjadikan jumlah keseluruhan Hospital adalah 22 buah di Zon Selatan.
Anggaran kos kontrak Medivest untuk melaksanakan 22 Hospital tersebut setahun adalah sebanyak RM350,028,466. Kos tersebut meliputi pembayaran bagi:
Skop perkhidmatan yang perlu dilaksanakan oleh syarikat konsesi adalah seperti berikut:

(a)    Perkhidmatan Penyenggaraan Kejuruteraan Fasiliti (FEMS);

(b)    Perkhidmatan Penyenggaraan Kejuruteraan Bidmedikal (BEMS);

(c)     Perkhidmatan Linen dan Pendobian (LLS);

(d)    Perkhidmatan Pengurusan Sisa Fasiliti Kesihatan (HWMS);

(e)    Perkhidmatan Pembersihan (CLS); dan

(f)      Perkhidmatan Pengurusan Fasiliti.

Kementerian tidak bercadang untuk menggantung perkhidmatan Medivest sepanjang tempoh siasatan kerana akan menjejaskan perkhidmatan sokongan hospital di hospital berkenaan dan seterusnya akan menjejaskan perkhidmatan kesihatan bagi Negeri Johor. Walau bagaimanapun, Medivest boleh dikenakan penalty atau lain-lain tindakan yang lebih tegas sekiranya didapati Medivest tidak mematuhi obligasi yang ditetapkan dalam Perjanjian Konsesi hasil daripada laporan Jawatankuasa Siastan Bebas kelak.

DAP Johor mengalu-alukan Jawatankuasa Siasatan yang ditubuhkan oleh Kerajaan dan diketuai oleh Jabatan Kerja Raya. Tetapi kami juga mendesak Kerajaan menubuhkan sebuah Suruhanraya Siasatan Diraja yang bebas dan berkewibawaan demi mempelajari pengajaran dari tragedi ini secara mendalam.
DAP Johor juga bercadang bahawa perkhidmatan sokongan hospital konsesi Medivest Sdn Bhd untuk HSA digantung semasa siasatan, dan kalau didapati bersalah, semua perkhidmatan syarikat tersebut digantung dan dirunding semula.
Satu soalan jangka panjang yang perlu dikaji oleh Suruhanraya Siasatan Diraja adalah perlu atau tidak untuk perkhidmatan sokongan hospital diswastakan. Penswastaan ini tidak membawa manfaat yang diinginkan untuk hospital-hospital Malaysia tetapi meningkatkan kos dan meningkatkan risiko yang dihadapi oleh hospital-hospital.
(Kenyataan media Pengerusi DAP Johor dan Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong di Parlimen, Kuala Lumpur, pada 27hb Oktober 2016.)

 

SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here