Dr Mahathir dan Gabungan Besar

0
729

Baru-baru ini, beberapa pihak telah mendakwa Tun Dr Mahathir menjadi punca masalah yang PH hadapi. Walaupun beliau tidak sempurna, ia tidak tepat melabel beliau sebagai penghalang agenda reformasi.

Keputusan bersejarah bekas parti pembangkang bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir dibuat berdasarkan pertimbangan berikut:

Pertama, faktor peralihan undi Tun Dr Mahathir

Dengan penyatuan Najib Razak dan PAS mencipta pertembungan tiga penjuru yang menguntungkan BN, agak mustahil Pakatan Harapan untuk menang kerajaan persekutuan pada PRU14 tanpa membentuk pakatan dengan Tun Dr Mahathir dan Bersatu.

Mengimbas semula pada Mac 2014, Najib Razak telah mula menarik PAS dalam gengaman UMNO. Pada Februari 2015, Anwar Ibrahim dipenjarakan dan tidak lama selepas itu, Tok Guru Nik Aziz pula meninggalkan kita. Pada bulan Jun tahun yang sama, Majlis Syura PAS membuat keputusan menolak golongan progresif sepenuhnya dan PAS berpecah selepas muktamar. Mereka yang terus bersama PAS telah bekerjasama dengan Najib Razak. Penipuan Najib Razak berdasarkan andaian bahawa undi menolak beliau akan pergi kepada PAS berbanding Pakatan dan selepas menang pilihan raya, UMNO dan PAS bersama membentuk pemerintahan. Najib Razak fikir dirinya mampu menang besar walaupun terpalit dengan salah satu skandal rasuah terbesar dalam sejarah.

Tidak dinafikan perubahan kerajaan berlaku pada 9 Mei tahun lepas jelas disebabkan kekecewaan terhadap Najib Razak. Namun, gabungan pakatan bersejarah antara Mahathir dan Anwar dan kemasukan Bersatu sebagai parti komponen PH, telah mengubah 15 hingga 20 peratus undi Melayu di bahagian pantai barat, yang membolehkan PH mengatasi strategi ‘tiga penjuru’ Najib Razak dan mengambil kuasa daripada BN.

Kedua, pemerintahan Tun Dr Mahathir – Anwar Ibrahim

Keputusan parti komponen PH (DAP, PKR dan AMANAH) untuk membentuk pakatan dengan Bersatu hanya tercapai selepas tempoh masa yang panjang dalam perbincangan dan rundingan Pencapaian penting pakatan ini ialah:

● Pada 13 Disember 2016: Komponen parti PH yang sedia ada menandatangani MoU bersama Bersatu yang dipimpin oleh Tun Dr Mahathir

● Pada 27 Mac 2017: Tun Dr Mahathir dan pemimpin Bersatu yang lain telah menghadiri Mesyuarat Majlis Presiden, menandakan Bersatu secara rasminya menjadi ahli keempat Pakatan Harapan.

● Pada 14 Julai 2017: Pengumuman penting Tun Dr Mahathir sebagai pengerusi, Dr Wan Azizah sebagai presiden dan Anwar sebagai Ketua Umum pakatan.

● Pada 7 Januari 2018: Pengumuman menamakan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, Dr Wan Azizah sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-8.

Sejak hari pertama, jelas sekali Tun Dr Mahathir dan pemimpin Bersatu tahu bahawa agak mustahil untuk menjatuhkan kerajaan Najib Razak tanpa pakatan bersama PH

Keputusan menyertai PH bukti Tun Dr Mahathir dan Bersatu bersetuju kerajaan baharu PH ialah kerajaan Mahathir – Anwar. Tanpa Tun Dr Mahathir atau Bersatu atau tripartite gabungan PH yang diketuai Anwar, Najib Razak akan terus bebas dan terus berkuasa.

Tun Dr Mahathir cukup faham bahawa ini kerajaan Mahathir – Anwar, seperti mana Anwar Ibrahim faham bahawa ini kerajaan Anwar – Mahathir.

Ketiga, kerjasama bersejarah antara Bersatu dan DAP

Pada 4 Mac 2016, Kit Siang telah menerima jemputan Tun Dr Mahathir menghadiri mesyuarat Deklarasi Rakyat dan ini menandakan permulaan pakatan besar antara DAP dan Tun Mahathir.

‘Gabungan besar’ (Grand Coalition) merujuk percaturan dua pihak yang tidak ada kaitan atau berbeza pandangan bersatu menghadapi lawan dan matlamat yang sama.

Bukan mudah untuk dua pihak yang berbeza bersama dan proses ini memerlukan banyak rundingan dan perbincangan. Gabungan Besar seperti ini mampu menyelesaikan masalah yang selama ini dilihat tidak dapat diselesaikan, selagi ia masih mengekalkan pendekatan kerjasama dan penglibatan, dan saling menghormati.

Kerjasama antara DAP dan Bersatu memerlukan kita melepaskan kecurigaan selama ini dan mengakui perbezaan wujud antara kita. Dengan kata lain, kebolehan untuk memimpin penyokong dan memacu arah pembinaan negara, kita mampu bekerjasama dengan erat bagi mencipta landskap politik yang baru.

Kefahaman yang jelas atas keterangan di atas membolehkan kita maju ke hadapan untuk mencapai impian mereformasi Malaysia, satu langkah pada satu masa.

SHARE